Pengorbanan Nabi Ibrahim AS
Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu
Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas
dari mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama
Siti Hajar.
Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail.
Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau
mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.” Apabila mendengar kata-kata
ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu
dari Allah S.W.T., aku sedia merelakan diriku untuk disembelih.”
Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi
Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih. Perkara Nabi Ibrahim
hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini
membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan, “Nampaknya Nabi Ibrahim
mungkin sudah gila hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Kalau kita
biarkan perkara ini, nanti kitapun akan dibunuhnya.”
Walau apapun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi
Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah S.W.T
terhadapnya. Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang
dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk
menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi
mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang
tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”
Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang
Allah S.W.T perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas
nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka
terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa,
Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.
Tetapi alangkah terperanjatlah apabila melihat yang
disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji
kebesaran Allah S.W.T, kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada
Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat dari Allah
S.W.T.

Tidak ada komentar:
Posting Komentar